Tuesday 24 January 2012




Tips Penjagaan Kaki 
(terutamanya bagi pesakit kencing manis)


Para pesakit kencing manis mempunyai risiko lebih tinggi untuk mendapat jangkitan kuman (yang kadangkala boleh menjadi serius dan mengancam nyawa), terutamanya ke atas anggota badan yang sering terdedah seperti kulit, tangan dan kaki.

Risiko jangkitan ini akan menjadi lebih tinggi sekiranya pesakit-pesakit tersebut mengalami keadaan kebas pada anggota terbabit akibat kencing manis yang tidak terkawal, lantas mendedahkan mereka kepada kecederaan kulit dan anggota yang tidak disedari dan seterusnya mengundang pelbagai bentuk jangkitan sekunder (secondary infection). Lebih menakutkan lagi apabila jangkitan tersebut merebak dan menyebabkan pesakit kehilangan anggota yang terlibat (amputasi, gambar).











Bagaimanakah cara untuk mengelakkan kecederaan dan seterusnya jangkitan pada kaki? Berikut adalah beberapa tips mudah bagi menjaga kaki kita daripada mendapat kecederaan tanpa kita sedari :

  1. Jagalah tahap gula dalam darah anda – ini sangat penting, kerana tahap kencing manis yang tinggi akan menjadikan jangkitan kuman sukar dikawal.
  2. Periksalah kaki anda setiap hari dan awas terhadap kewujudan lepuh-lepuh (blisters), luka (tidak kira berapa kecil saiznya), kemerahan pada kulit, dan tanda bengkak. Gunakan cermin bagi memeriksa kulit pada tapak kaki dan kawasan lain yang terlindung.
  3. Gunakan kasut yang selesa dan sesuai sewaktu berjalan di luar, dan pakailah stokin yang bersih bagi menyerap kelembapan berlebihan pada kulit kaki di dalam kasut. Pakailah kasut yang lebar hujungnya (large toe-box, gambar) bagi mengelakkan jari kaki terkepit di dalam kasut yang akan mengurangkan aliran darah dan menambah risiko kecederaan pada jari kaki. Elakkan penggunaan selipar kerana bahagian kaki akan terdedah kepada benda-benda tajam yang mungkin mencederakan kulit kaki. Jangan berjalan 'kaki-ayam' di luar rumah.

     
    Kasut yang kurang sesuai dipakai (meskipun cantik pada pandangan mata) kerana ruang untuk jari kaki yang sempit


    Kasut ini lebih sesuai kerana ruang jari kaki yang luas dan selesa


  4. Basuhlah kaki setiap hari dengan air yang bersih (!!! jangan gunakan air panas) dan laplah kaki sehingga kering selepas dibasuh. Elakkan dari menggunakan sabuh atau pencuci yang bersifat menghakis (corrosive) kerana ianya akan melukakan kulit kaki. Jangan lupa mengeringkan kulit di antara jari kaki yang mungkin mengundang jangkitan kulat sekiranya dibiarkan lembap selepas dicuci.
  5. Sapulah losyen pada kulit kaki bagi memelihara kelembapan dan mengelakkan rekahan (ini adalah bagi mereka yang mempunyai kulit yang sentiasa kering dan merekah).
  6. Potonglah kuku kaki dengan berhati-hati seminggu sekali dan jangan memotongnya terlalu pendek bagi mengelakkan kecederaan pada lapisan kulit berdekatan kuku. Mintalah pertolongan orang lain sekiranya penglihatan anda tidak begitu jelas. Gunakan pemotong kuku yang sesuai (nail-clippers) dan bukannya pisau bagi mengelakkan kecederaan pada kulit anda sewaktu kuku dipotong.
  7. Elakkan berjalan di kawasan yang terlalu panas (contohnya di kawasan pantai) atau terlalu sejuk (contohnya lantai simen yang sejuk) tanpa alas kaki yang sesuai.
  8. Amalkan senaman regangan kaki dan jari selalu terutama sewaktu berehat di rumah. Ini bagi menggalakkan aliran darah yang lebih berkesan ke anggota-anggota tersebut.
  9. Pergilah berjumpa doktor anda dan jalanilah pemeriksaan kaki secara berkala dengan doktor anda. 

    ** Nota kaki :-

    Untuk mempelajari turutan memotong kuku menurut sunnah Rasulullah SAW - sila ikut panduan rajah ini.


No comments:

Post a Comment