Rawatan tempurung lutut terkehel (patellar dislocation)
Tulang tempurung lutut (patella or knee cap) adalah tulang yang berada di hadapan lutut kita, berfungsi menghubungkan urat (tendon) otot peha hadapan (quadriceps muscle) dengan tulang keting (shinbone) seterusnya menambahkan kekuatan otot quadriceps tersebut untuk meluruskan sendi lutut.
Kejadian terkehel tempurung lutut (gambar kanan) jarang berlaku, namun jika ianya terjadi, biasanya adalah akibat rempuhan kuat pada sisi tulang tempurung, akibat terjatuh dalam keadaan lutut terlipat, terpusing lutut dalam keadaan kaki terjejak kuat pada tanah, ataupun dalam keadaan di mana tisu penyokong tulang tempurung (dipanggil medial patello-femoral ligament atau MPFL) terkoyak akibat trauma. Perempuan lebih cenderung mendapat keadaan ini berbanding lelaki, disebabkan tisu ligamen mereka yang lebih lembut berbanding lelaki.Kesan jangka panjang terkehel tempurung ini adalah kerosakan pada permukaan rawan pada tempurung lutut yang boleh membawa kepada proses 'arthrosis' (kerosakan sendi yang kronik) jika tidak dirawat dengan segera.
Terdapat juga keadaan di mana tempurung lutut cuma terlencong dari laluan asalnya (mal-tracking / subluxation) dan tidak terkehel sepenuhnya. Keadaan ini tidak begitu serius tetapi perlu dikenalpasti supaya rawatan dapat diberikan dengan sewajarnya.
Apabila pesakit menghidap masalah ketidakstabilan tempurung lutut di atas (sama ada cuma terlencong atau terkehel sepenuhnya), biasanya penghidap merasa sakit di bahagian hadapan lutut sewaktu bangun dari posisi merangkak atau mencangkung (contohnya selepas menggunakan tandas cangkung); menaiki atau menuruni bukit atau tangga; dan sewaktu melompat. Bagi yang terkehel tempurungnya pula akan mendapat bengkak dan sakit yang mendadak pada bahagian hadapan lutut, tempurungnya dilihat berada di sebelah tepi lutut dan bukan di tengah-tengah seperti yang sepatutnya, lebam di bahagian dalam tulang tempurung, dan setelah beberapa lama akan mendapati dirinya merasa gusar yang tempurungnya akan terkehel berulang-kali (apprehensive).
Pemeriksaan sewaktu di dalam bius pula akan menunjukkan yang tempurung lutut tersebut akan terus terkehel apabila ditolak ke tepi (gambar kiri).
Bagaimanakah doktor boleh membantu pesakit yang mengalami masalah ketidakstabilan tempurung lutut ini?
Langkah pertama adalah mendapatkan diagnosa tepat dan mengenalpasti sama ada masalah pada pesakit cuma terlencong atau terkehel sepenuhnya. Doktor akan menanyakan sejarah gejala pesakit dan memeriksa lutut pesakit tersebut bagi membezakan dua masalah ini.
Rawatan dimulakan dengan menguatkan otot sebelah dalam tempurung lutut (otot VMO), memberikan ubat penahan sakit dan menyarankan pesakit mengelakkan aktiviti yang menyebabkan kesakitan atau gejala tertentu. Pesakit juga akan disarankan agar mengenakan sejenis pendakap tempurung lutut (patellar brace) bagi memberikan sokongan tambahan kepada tisu sekeliling tempurung yang lemah atau terkoyak.
Pesakit akan menjalani rawatan fisioterapi berkala selama 6 minggu dan selepas itu, jika masih mengalami ketidakstabilan atau sakitnya semakin melarat atau aktiviti rutin pesakit terjejas, maka pesakit akan dicadangkan menjalani pemeriksaan arthroskopik di mana tisu penyokong tempurung lutut dan keadaan rawan pada belakang tempurung diperiksa secara langsung menggunakan sejenis kamera arthroskopik khas (gambar). Rawan yang rosak akan dirawat secara terus dan tisu yang ketat akan dipotong menggunakan alat khas bagi melonggarkannya. Bagi pesakit yang terkehel tempurung lututnya, sejenis prosedur dipanggil 'medial patello-femoral ligament (MPFL) reconstruction' akan dijalankan di mana doktor akan mengambil tisu penderma (donor tissue), selalunya urat hamstring pesakit dan akan menggunakan urat ini bagi menggantikan urat MPFL yang terkoyak di sisi dalam tempurung lutut pesakit itu (gambar).Proses rehabilitasi selepas pembedahan akan mengambil masa 3-6 bulan. Fisioterapi akan tertumpu kepada menguatkan otot bahagian hadapan peha serta memastikan bahawa sendi lutut tidak mengetat (stiffness) dan menyebabkan aktiviti harian pesakit terganggu.
Untuk maklumat lanjut, anda boleh menghubungi doktor anda atau berhubung terus dengan penulis melalui blog ini.

